Allah Sayang Pada Aku?

Assalamualaikum..

Hari ini tergerak hati untuk menyusun jari-jemari yang dipinjamkan oleh Allah ini untuk menulis perkataan-perkatan yang berbisik terus dari hati. Alhamdulillah.. masih diberikan kesempatan untuk menghirup udara di bumiNya. Masih punyai roh di dalam jasad. Masih punyai peluang taubat.

Dalam kehidupan kita ini, ada masa kita terlalu leka sehingga lupa pada dunia. Segalanya dilakukan tanpa ada rasa bersalah. Terjatuh ke lembah yang hina. Lupa tujuan utama kehidupan di dunia yang fana. Menurut bisikan dari musuh yang nyata sehingga merasakan berada dalam kejahilan dan jauh dari agama itu perkara biasa.

Astaghfirullahaladzim. Bila difikirkan kembali, terasa diri sungguh hina. Mampu aku mengaku diri ini seorang Islam sedangkan cara hidup langsung tidak melambangkan apa yang tertera di dalam kad pengenalan di ruangan agama. Ya, aku juga pernah berada di dalam fasa "Islam hanya pada nama" Ya itu aku sedar dan aku akui.

Allah itu Maha Adil, sebagai pencipta, Dia pasti ingin menguji hambaNya. Ya aku diuji.UjianNya kurasakan berat namun aku tahu itu adalah pengajaran buatku. Dalam usaha kembali kepada sang Pencipta, hati dibisik untuk kembali kepada kehidupan yang sia-sia. Aku terjatuh lagi. Jatuh dan hanyut dibawa arus bahagia yang ternyata palsu. Bila keseorangan, aku sedar bahawa hidupku hanyalah kosong dan sunyi. Aku lupa kepada yang setia menemaniku. Yang Satu.

Benar, tujuan manusia diciptakan di dunia ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan juga untuk menjadi khalifah selaku pentadbir diri dan alam. Itu tujuan utama kewujudan kita, tapi ramai yang masih tidak sedar. Ramai yang menanamkan dalam fikiran bahawa dunia ini adalah tempat untuk mencuba segala apa yang ada. Maka bangunlah, itu mimpi yang sia-sia. Kembalillah ke alam yang nyata. Alam dunia sebagai tempat persinggahan dalam perjalanan mencari kehidupan yang hakiki.

Bila Allah lihat usaha hamba yang ingin mendekatiNya, Allah akan sambut seruan itu dan berkali ganda lagi Allah akan mendekati hambaNya itu. Tiada apa yang dapat menggambarkan perasaan tenang yang lahir tatakala berada dekat dengan Yang Maha Esa. Dunia hanyalah di jari kita. Kita menunggangi dunia dan bukan sebaliknya. Itulah nikmat yang dikecapi tatkala Allah meniupkan hidayahNya ke dalam seketul daging di badanmu. Ya, daging itu adalah hatimu yang mana menjadi kunci atas segala tindak tandukmu. Jika baik hatimu maka baiklah jasadmu, baiklah akhlakmu, santunlah pekertimu, sopanlah pertuturanmu.

Sungguh aku bersyukur, ALlah masih mendengar keluhanku, Allah masih memandangku. Kadangkala aku sungguh malu denganNya. Sungguh aku telah menjauh namun dia masih memberi peluang kepadaku untuk mendekatiNya. RahimMu ku pinta. Teruskanlah berada di dalam hatiku ini. Benar aku tahu hatiku ini berbolak balik sifatnya. Aku benar-benar pinta Engkau tetapkanlah ia pada jalan keredhaanMu. Tiada lain yang ku pinta melainkan kasih dari sisiMu.




















Tegurlah aku jika engkau melihat diriku jauh dari Penciptaku.

Comments

Popular posts from this blog

TEKS PENGACARA MAJLIS PERKAHWINAN ISLAMIK

How Easy Doing Dakwah Actually Is..

Contact Again..